Monday, April 4, 2011

Industri Pertahanan, RETORIK atau REALITI.

MENBANGUNKAN KEMAMPUAN SISTEM & PLATFORM - Kenapa Sukar Untuk ATM?

Backdated Issues 2009 - May 2009

Written by Zuridan Bin Muhammad

Dalam mana-mana organisasi angkatan bersenjata, tidak ada keperluan yang lebih mendesak dari untuk sentiasa membangunkan kekuatan melebihi dari tahap ancaman yang dipercayai bakal dihadapi. Ianya bukanlah satu tugas yang mudah, malah memerlukan kos perbelanjaan serta perancangan masa panjang yang teliti.
Secara mudah peningkatan kemampuan ini kerap diterjemahkan oleh pihak media sebagai perlumbaan senjata, malah kadang-kala disalah tafsirkan pula sebagai satu unjuran kuasa. Apa yang berlaku sebenarnya ialah lebih kepada rasa tidak selamat atau kekurangan yang nyata di kalangan cabang-cabang perkhidmatan tentera sesebuah negara yang merasakan bahawa sistem atau persenjataannya tidak lagi mampu serta releven untuk menghadapi kuasa yang dipercayai wujud yang boleh mengancam kestabilan mahupun menakluk kawasan atau mempengaruhi imbangan kuasa kawasan serantau. Dalam keadaan keselamatan global yang semakin tidak menentu dengan banyak negara atau kerajaan kecil negara dunia kerap menjadi percaturan strategik kuasa besar, tidak ada jaminan keselamatan yang benar-benar konkrit. Selain itu kebangkitan kuasa kumpulan-kumpulan militan tidak bernegara juga sering menjadikan ‘permainan’ strategik kuasa-kuasa tertentu semakin rumit, malah mampu memporak-perandakan sebuah negara berdaulat. Konflik secara proksi dengan memainkan sentimen etnik, agama dan fahaman politik pada beberapa dekad kebelakangan ini dengan jelas membuktikan bahawa tidak ada yang mampu mengatakan bahawa ia tidak lagi memerlukan sebuah angkatan tentera yang moden dan berkesan.

Mendapatkan kelebihan kuasa tempur

Bagi mendapatkan tahap keberkesanan yang boleh dianggap memadai dalam pertahanan sesebuah negara, maka tidak dapat tidak pemodenan, sama ada secara sendiri atau dengan kerjasama dari kuasa-kuasa besar, angkatan tentera adalah merupakan satu kemestian. Sememangnya pihak media melabelkannya sebagai satu ‘perlumbaan senjata’ dan ia ditafsirkan umum sebagai satu ungkapan yang negatif. Namun media yang sama mungkin menukar segala-galanya kepada yang positif apabila perolehan sama diletakkan dibawah naungan perkataan ‘pemodenan’, walhal intipatinya adalah sama. Apakah dapat sebuah negara menghalang cita-cita sebuah negara atau kuasa lain yang mahu mencabul kedaulatannya secara kekerasan tanpa mempunyai sebuah angkatan tentera yang moden, efisyen, kredibel serta mempunyai aset-aset fizikal seperti pesawat udara, kereta kebal dan kapal selam yang moden? Jawapannya sudah tentu sekali tidak. Sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa hanya faktor jumlah bilangan yang jauh lebih besar tidak akan menjamin kemenangan mutlak dalam peperangan moden hari ini. Ia adalah gabungan antara aset berkualiti (modal insan mahupun peralatan), teknologi, daya mobiliti, komunikasi dan kuasa tembakan yang lazimnya bakal menentukan menang kalahnya sebuah angkatan tentera moden.

Jika ini benar tentunya tidak dapat tidak sebuah angkatan tentera akan terpaksa menggantikan sebahagian dari kelengkapan dan peralatan yang dimilikinya sekian lama untuk digantikan dengan sistem yang lebih releven serta bersesuaian dengan persedaran teknologi dan ancaman semasa. Membina kekuatan yang bersifat jumud dengan tidak mengambil-kira proses kesinambungan untuk secara terus-menerus memiliki kekuatan yang releven dengan masa samalah seperti menggali kubur dan menggadai kemerdekaan sendiri. Salah satu trend yang dianggap merbahaya dan sebenarnya hanyalah membuai sebuah angkatan tentera dan negara kepada jaminan keselamatan yang palsu ialah dengan hanya membeli sistem atau peralatan yang dianggap paling canggih dari pasaran terbuka dan menganggap bahawa sistem tersebut bakal mampu menampung kehendak keselamatan sebuah negara untuk satu tempoh jangkamasa yang panjang. Pembelian atau perolehan sedemikian lazimnya bersifat tunggal atau ‘one-off’ dan mempunyai kos yang tinggi. Sistem-sistem ini juga diperolehi dengan khidmat selepas jualan yang terhad dan lazimnya hampir pasti atau jika wujud adalah amat terhad dari sudut timbal-balik atau pemindahan teknologi. Jika adapun usaha-sama dan kemahiran atau pemindahan teknologi juga program timbal-balik yang diberikan oleh negara pembekal adalah yang berkaitan dengan bidang komersial.

Konsep pembelian ‘one-off’ sebegini telah dilakukan oleh banyak negara dan ini boleh diandaikan juga bahawa Malaysia juga tidak terkecuali. Contoh yang paling baik boleh dijadikan iktibar mengenai bagaimana perolehan sedemikian sebenarnya melemahkan dan bukan memberikan kesan sebaliknya kepada sebuah negara ialah bagaimana perolehan yang dilakukan terutamanya oleh negara-negara Asia Barat yang kaya seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar. Dengan limpahan kekayaan yang melimpah-ruah, negara-negara tersebut telah melaksanakan pelbagai pembelian dan perolehan sistem-sistem persenjataan yang canggih, terutamanya setelah berlakunya Perang Teluk. Apa yang diperolehi oleh negara-negara tersebut dalam bentuk sistem kelengkapan kereta kebal, kapal dan pesawat udara adalah merupakan versi yang hebat, namun ia mempunyai batas atau keupayaan yang terhad mengikut peralehan masa dan perkembangan teknologi. Jika sistem yang ditawarkan adalah sistem yang dihasilkan pada era tahun 80an, maka tentunya negara pembekal akan menambah beberapa ciri ‘baru’ yang nampak canggih pada sifat fizikalnya dan dikatakankan mampu mempertingkatkan tahap keupayaan sistem tersebut untuk menangani masalah hari ini. Perkara tersebut tidak semestinya benar, namun dalam dunia perniagaan berkaitan sistem pertahanan, saingan adalah amat sengit dan kadang-kala penjual sanggup mengatakan apa sahaja asalkan produknya terpilih. Ketika perundingan perolehan, apa yang kerap menjadi isu yang dibahaskan oleh pembeli dan penjual ialah selama manakah sistem ‘baru’ yang diperolehi oleh negara-negara pembeli bakal secara terus menerus memberikan kelebihan dan mengimbangi kekuatan negara-negara serantau yang dianggap mereka sebagai ancaman yang kredibel. Bagi pihak penjual ia harus mempromosikan sistem atau aset yang dijual sebagai mempunyai jangkahayat operasi yang lama namun pada masa sama menghadkan opsyen-opsyen yang ditawarkan kepada tempoh jangkamasa atau peringkat tertentu sahaja. Ia dilakukan dengan menghadkan keupayaan hakiki kelengkapan tersebut sehingga kepada teknologi generasi yang tertentu sahaja dan mungkin bermakna dalam masa mungkin kurang dari 10 atau 15 tahun, maka sistem-sistem yang ‘jumud’ ini akan mencapai status tidak efektif untuk menangani ancaman yang baru.

Terdapat dua sebab utama kenapa perkara ini dilakukan oleh pengeluar. Pertama ianya adalah untuk mengawal penularan teknologi persenjataan yang menurut mereka jika tersebar dengan meluas boleh mengakibatkan keselamatan atau keamanan global tergugat. Ini termasuklah seperti teknologi berkaitan senjata nuklear, senjata kimia dan biologi, sistem dan perisian komputer berteknologi tinggi, sistem berkaitan nano-teknologi dan pelbagai lagi. Sebab kedua, negara-negara atau firma yang berkaitan dengan penghasilan sistem dan aset ketenteraan berteknologi tinggi mahukan monopoli teknologi yang berkaitan ketenteraan dikekalkan oleh firma-firma dibawah pengawasan kuasa-kuasa global dunia yang tertentu sahaja. Ini akan memudahkan kawalan serta pemantauan sistem-sistem yang wujud dan tidak terlepas ke tangan negara-negara atau kuasa yang dianggap berpaksikan kepada ‘kejahatan’ atau yang diistilahkan oleh pihak Jabatan Luar Amerika Syarikat sebagai ‘rouge states’.

Nasib industri pertahanan kita
Bagi Malaysia, perolehan-perolehan yang dilaksanakan untuk memodenkan kemampuan angkatan tentera negara dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini adalah merupakan satu peningkatan yang amat ketara sekali. Perolehan-perolehan utama yang tentunya dikenal pasti sebagai memberikan daya mobiliti serta kuasa tembakan yang jitu termasuklah perolehan sistem pesawat MiG-29 dan Sukhoi, perolehan sistem kereta kebal PT-91M dan paling terkini dua buah kapal selam jenis Scorpene. Kesemua perolehan tersebut dianggap sebagai perolehan-perolehan yang bernilai tinggi.

Seperti yang telah disebut terdahulu, apakah perolehan-perolehan yang dilaksanakan ini turut mengambil kira kemahiran dan pemindahan teknologi yang sepatutnya diperolehi sebagai sebahagian dari persetujuan untuk pembelian aset-aset tersebut? Jika jawapanya, ya, tentunya pihak Kerajaan dan Kementerian Pertahanan mempunyai pelan jangka panjang untuk mendapatkan apakah teknologi dan kemahiran yang mahu diperolehi sejajar dengan pelan jangka panjang pembangunan teknologi pertahanan negara. Seperti yang diketahui umum, apabila rundingan perolehan antara pihak Kerajaan dan firma atau negara asing dilakukan, maka wakil-wakil dari agensi dan organisasi berkaitan pertahanan seperti STRIDE dan MIPN akan cuba melihat dan mengkaji apakah faedah-faedah timbal-balik atau pemindahan teknologi yang boleh dipindahkan kepada negara dari perolehan-perolehan yang akan dilaksanakan.

Untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan ini kita harus bertanya apakah sektor pertahanan negara, baik dari agensi Kerajaan mahupun firma swasta mempunyai pelan pembangunan strategik jangka-panjang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan kepakaran dari program-program perolehan tersebut? Ini menimbulkan kemusykilan kepada umum kerana sehingga hari ini tidak nampak apa-apa jenis aktiviti mahupun program berkaitan pertahanan yang boleh dikaitkan dengan program timbal balik berkaitan pertahanan yang telah benar-benar memberikan faedah kepada pertahana negara, selain dari penggunaan asaet yang dibeli. Jika ada contoh yang paling menonjol, ianya adalah program Angkasawan Negara yang diperolehi sebagai satu syarat kepada program pembelian pesawat Su-30MKM dari pihak Rusia. Satu lagi program yang mungkin boleh di’banggakan’ (walaupun masih 100% belum terbukti lagi) ialah bagaimana Boustead Naval Dockyard, yang dahulunya di kenali sebagai PSC Naval Dockyard, dengan program NGPVnya. Walaupun demikian keputusan untuk mengkategorikan program tersebut sebagai benar-benar berjaya ataupun tidak, masih belum boleh ditentukan kerana kapal-kapal tersebut ada yang masih dalam pembinaan dan ujian dan belum benar-benar teruji kemampuannya. Apa yang pasti ialah kekecohan yang timbul mengenai skandal laporan kewangan dan kelewatan pentaulihan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghantui program tersebut sehingga kini.

Satu sektor yang begitu mengecewakan ialah dalam kemampuan teknologi automotif dan aeroangkasa. Entah kenapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini kedua-dua sektor tersebut seakan membisu seribu bahasa. Nama-nama seperti AIROD dan DEFTECH seakan tenggelam dan tidak bermaya. Apakah sebenarnya yang telah berlaku dan kenapakah industri automotif dan aeroangkasa yang berkaitan bidang pertahanan seakan-akan tidak bermaya? Dalam industri automotif, pengambil-alihan firma MMC oleh DEFTECH selepas MMC berjaya mendapatkan kontrak membekalkan sejumlah kereta kebal utama PT-91M kepada tentera darat dan apakah langkah-langkah ke hadapan untuk terus memajukan industri tersebut menjadi bertambah kabur. MMC ditukarkan namanya kepada DSSB dan memandangkan kedua-dua gergasi firma automotof pertahanan negara telah digabungkan, tentunya umum merasakan bahawa gandingan modal insan, baik diperingkat pengurusan mahupun kejuruteraan mampu menghasilkan produk automotif berkaitan pertahanan buatan Malaysia yang jitu dan mantap boleh diguna pakai oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun perolehan tersebut tidak membawa apa-apa perubahan baru dan aktiviti firma tersebut diteruskan sepertimana sedia ada, iaitu membekalkan kenderaan kereta kebal PT-91M dan membaik pulih serta menyelenggara kenderaan SCORPION dan STORMER.

Apa yang agak mengejutkan ialah firma tersebut juga kini mula melebarkan sayap aktivitinya kepada sektor berbeza dalam bidang pertahanan, iaitu membekalkan sistem senjata ringan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan juga Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta cuba membangunkan sistem kawalan persenjataan dan juga sistem pengawasan radar pesisir pantai kepada pihak Maritim Malaysia (sesuatu yang mungkin boleh dianggap terkeluar dari skop terasnya sebagai industri automotif). Bagi pihak DEFTECH pula, harapan tinggi yang diletakkan oleh umum ketika diketahui bahawa firma tersebut telah dianugerahkan kontrak pemasangan sejumlah besar kenderaan ADNAN AIFV di lokasi kilang utamanya di Pekan, Pahang, sehingga ke hari ini tidak menampakkan apa-apa hasil melainkan kenderaan asal yang telahpun diserahan kepada tentera darat. Walaupun ada percubaan untuk mengetengahkan kenderaan AV4 di pasaran dalam negara dan serantau, sehingga hari ini tidak ada sebarang laporan yang menunjukkan bahawa ATM mahupun mana-mana negara serantau bakal memperolehi sistem kenderaan tersebut dalam jumlah besar.

Industri Aeroangkasa terus membisu tanpa sebarang berita yang menarik sepanjang tahun lalu dan juga awal tahun 2009. Nama AIROD tidak lagi kedengaran di media elektronik atau terpampang di dada-dada akhbar seperti suatu masa dahulu. Sehingga ke hari ini walaupun dengan pelbagai perolehan berteknologi tinggi sejak dari pertengahan tahun 90an lagi, namun tidak ada apa yang hari ini boleh ditonjolkan oleh firma tersebut yang benar-benar dapat membuka minda dan mata umum mengenai bagaimana salah satu industri yang dianggap banyak pihak suatu masa dahulu berkemungkinan besar memainkan peranan yang kritikal dalam pembangunan teknologi aeroangkasa negara masa hadapan, hari ini tidak lebih dari sebuah firma yang hanya mampu melaksanakan kerja-kerja senggaraan dan baik-pulih sepertimana yang dilakukannya sepuluh tahun dahulu, tidak kurang dan tidak lebih. Jika adapun peningkatan ianya bukanlah seperti mana yang diharapkan. Mungkin agaknya ada kejutan yang lebih positif bakal diumumkan nanti ketika berlangsungnya pameran LIMA 09 pada penghujung tahun ini.

Lebih menonjol ialah bagaimana firma-firma baru terutama yang mempunyai induk dari luar negara seperti seperti Eurocopter Malaysia dilihat lebih dinamik dengan pusat-pusau selengaraan dan bantuan teknikal yang begitu progresif. Bagi pihak industri lain, cerita yang sama terus bergema. Umpamanya bagaimanakah pula dengan sistem raifal untuk setiap anggota tentera kita. Firma utama yang tekah sekian lama memegang monopoli dalam penghasilan senjata dan peluru bagi kegunaan pasukan tentera kita masih belum lagi ‘mampu’ atau mungkin ‘tidak mahu’ menghasilkan senjatanya tersendiri. Secara logiknya setelah sekian lama mengeluarkan sebahagian besar komponen raifal Steyr AUG yang diguna pakai oleh kesemua cabang ATM, kita sepatutnya telahpun mampu menghasilkan raifal sendiri seperti Indonesia, Singapura malah negara seperti Burma. Namun entah kenapa, apabila keputusan dibuat untuk menggantikan sistem Styer AUG dengan M4, ATM bakal terus bergantung sistem persenjataan paling asasnya kepada pengeluar dari luar negara. Untuk perolehan kali ini entah berapa juzuk atau proses pengeluaran raifal M4 bakal dilakukan oleh SMEO dan persoalan yanbg sepatutnya terjawab sekian lama kembali di ulang. Apakah proses ini bakal menyaksikan bahawa Malaysia akan akhirnya menjadi pengeluar M4 atau klonnya, atau satu masa nanti apabila khidmat M4 dianggap tidak lagi releven, kita akan mencari pengeluar senjata baru dari luar dan melaksanakan proses yang sama?

Adakah kita memerlukan satu pendekatan baru?
Pihak Kerajaan. Kementerian Pertahanan dan ATM sendiri seharusnya membuat kajian yang terperinci mengenai apakah Malaysia benar-benar mempunyai polisi pembangunan pertahanan yang bakal membolehkan negara menghasilkan, mengguna dan mempertahan-kan diri dengan sistem dan aset yang dibangunkan melalui program-program timbal balik dan perolehan teknologi yang terhasil dari pembelian aset bagi ATM.

Seharusnya setelah sekian lama kita menilai kembali perkara tersebut kerana jika dilihat kepada perkembangan terkini industri dan kemampuan ATM sendiri dalam mengoperasikan sistem-sistem berteknologi tinggi sedia ada, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pertahanan negara. Mungkin satu pendekatan baru diperlukan bagi menghentikan keadaan kelembapan kemampuan industri pertahanan dan pihak ATM sendiri. Kajian yang pertama mesti dibuat ialah untuk melihat kembali keberkesanan kesemua program-program dan pemindahan teknologi yang telah dipersetujui oleh pihak pengeluar produk, terutamanya dari luar negara. Apakah program pemindahan teknologi ini atau akronimnya TOT (Transfer of Technology) benar-benar mencapai objektifnya dan jika berjaya adakah ia menyumbang ke arah aktiviti pertahanan atau sebaliknya. Ini penting untuk dikaji kerana jika hampir kesemua program TOT adalah berbentuk komersial maka tentunya pihak Kementerian Pertahanan harus menilai semula keadaan ini. Ini kerana seharusnya ada keseimbangan dalam menentukan berapa peratuskah jumlah program TOT dapat dimanafaatkan terus oleh pihak ATM, dan berapa peratuskah yang bersifat komersial semata-mata.

Salah satu cara yang dirasakan terbaik untuk ATM melaksanakan program ini dalam masa jangka panjang ialah untuk melaksanakan perolehan kepada sistem-sistem yang dikenal pasti sebagai mempunyai kemampuan, baik aset mahupun perisian atau sistemnya untuk diintegrasi dan dipertingkat kemampuannya bagi tempoh jangkamasa panjang. TOT yang sebegini mestilah bersifat komprehensif dengan ilmu dan tunjuk ajar yang diberikan termasuklah bagi modal insan tempatan sepenuhnya. Sistem-sistem atau platform persenjataan hari ini yang banyak bersifat modular sepatutnya dijadikan sistem utama yang bakal diperolehi. Ini kerana sistem yang bersifat sedemikian lazimnya dibina menggunakan apa yang diistilahkan sebagai ‘open-architecture’ atau sistem pengoperasian terbuka yang membolehkan kemampuan atau perlakuan platform dipertingkatkan bagi menangani ancaman mendatang yang belum pasti rupa bentuknya hakikinya, tetapi dikenalpasti trend dan polar penggunaanya mengikut evolusi teknologi dalam sistem berkaitan pertahanan hari ini.

Contoh terbaik yang boleh diketengahkan ialah sistem meriam penangkis Skyranger. Tidak seperti meriam penangkis aset udara tradisional, sistem Skyranger di cipta sejak dari awal sebagai sistem ancaman pelbagai yang boleh dipadankan juga dengan platform yang berbagai. Intipati kepada sistem ini adalah sistem meriam berputar berkaliber 35mm yang dinamakan ‘Skyranger Gun System’ yang diintegrasikan dalam turet tidak berpenghuni yang mempunyai berat minima membolehkan turet tersebut dipasang pada kenderaan atau ditarik ke kawasan operasi. Kadar tembakan bagi meriam ini boleh diubah mengikut kesesuaian ancaman dari 1,000 butir seminit kepada tembakan bertalu-talu dalam masa singkat, atau tembakan separa automatik. Sistem suapan adalah dari dua dulang berasingan dengan setiap dulang atau kotak kelopak mampu mengisi sehingga 228 butir peluru.

Penggunaan dua sistem suapan membolehkan pengendali sistem memilih jenis peluru yang difikirkan sesuai bagi ancaman, sama ada ancaman darat, laut mahupun udara. Sistem tenangan adalah menggunakan sistem pejera optik-elektronik, pengukur jarak laser serta kamera inframerah. Ini bermakna sistem meriam Skyranger mampu memantau sasaran yang dikenal pasti secara terus menerus baik siang mahupun malam atau dalam keadaan cuaca buruk. Bagi sistem pertahanan udara kawalan konvoi umpamanya, turet ini boleh dipasangkan pada kenderaan armor dan kemudian dipadankan dengan sistem peluru berpandu jarak amat dekat seperti Stinger, Mistral dan Igla (yang dimiliki oleh pihak tentera darat Malaysia). Bagi membantu pengesanan sasaran, sistem kenderaan Radar Skyranger diperkenalkan. Ia menggunakan sistem radar tiga dimensi julat I (3D I-band) yang diguna pakai untuk mencari, mengesan, mengunci dan memantau pesawat-pesawat udara dari kapal terbang sehinggalah kepada pesawat tanpa pemandu atau dron yang kecil.

Sistem ini juga boleh dijadikan sebagai paksi kepada pertahanan aras amat rendah sekiranya sistem meriam sama diguna pakai dalam versi Skyshield35. Sistem ini kompak, ringan dan modular disamping dapat memberikan perlindungan keselamatan yang baik kepada krew sistem tersebut. Komponen utama sistem ini adalah merupakan dua sistem meriam berkaliber 35mm pada tenggekannya danm satu sistem arahan dan kawalan yang mempunyai unit tanpa kawalan insani yang disambungkan pada pusat arahan dan kawalan berasingan yang menempatkan dua operator sistem. Sistem ini amat sesuai dalam aplikasi mempertahankan kawasan tertentu yang mempunyai nilai strategik. Bahagian penderia pada sistem Skyranger35 adalah amat kalis kepada serakan atau pengumpaan elektronik yang cuba dilaksanakan oleh pihak musuh. Sistem penderia radar menggunakan sistem pancaran pelbagai manakala radar pemantau adalah jalur-x dengan denyut doppler (x-band pulse doppler), ia berkemampuan untuk memberikan isyarat amaran mengenai kehadiran sasaran walaupun pada masa sama mengendalikan imbasan.

Setelah melakukan evaluasi ancaman, isyarat pandua kedudukan sasaran akan dipindahkan secara automatik kepada penderia pemantauan, Selain radar, sistem pelbagai penderia elektronik lain termasuklah kombinasi antara TV/laser dan pancaran inframerah. Masa yang diambil dari pengesanan sehingga proses evaluasi dan penembakan adalah amat pendek, iaitu dibawah tempoh masa 4.5 saat. Sistem ini juga lazimnya akan disambungkan pada sistem utama pengurusan tempur medan atau BMS (Battle Management System) yang disebarkan pula kepada grid jaringan pertahanan udara nasional. Sistem meriam sama turut boleh diguna pakai pada sistem tenggekan atau turet platform kapal atau bot ronda. Pada platform maritim sistem ini diklasifikasikan sebagai ‘35mm Millennium Naval Mount’. Pada kapal sistem ini turut berfungsi untuk melindungi kapal dari ancaman serangan dari bot-bot kecil atau bot pelampung getah atau RHIB yang merupakan kenderaan pilihan bagi pengganas dan juga lanun. Kepantasan bot-bot tersebut bergerak terutama dalam operasi perlanunan atau misi pengeboman berani mati, terutama berhampiran pesisir pantai bakal memerlukan sistem meriam berkuasa tinggi untuk menanganinya. Selain itu kadar tembakan tinggi dari sistem meriam 35mm ini amat berkesan sebagai dinding pertahanan terakhir kepada platform permukaan dari serangan peluru berpandu yang terbang rendah mendakap permukaan laut.

Sistem meriam 35mm buatan Oerlikon Contravers ini hanyalah yang diberikan ini adalah sebagai satu contoh mengenai bagaimana kemungkinan sistem yang sedemikian diperolehi oleh sebab-sebab modulariti dan kemampuan menggunakan meriam dan sistem yang sama dalam pelbagai aplikasi. Skyranger, Skyshield35 dan 35mm Millennium Naval Mount adalah contoh bagaimana sistem yang sama boleh diguna pakai dalam berbagai operasi untuk menangani masalah ancaman udara serta darat. Bagi Malaysia sistem yang sedemikian boleh dianggap sebagai releven kerana ia membolehkan pengoptimaan pengunaan aset serta modal insan pada tahap yang maksima. Ketiga-tiga sistem menggunakan sistem meriam yang sama dengan beberapa perubahan kecil pada komponen tertentu dan jenis tenggekan mengikut keperluan platform di mana ia akan dioperasikan dari, iaitu sama ada darat atau laut. Dari segi logistik sama ada keperluan latihan, alat ganti mahupun peluru, tugas ini boleh dipermudahkan kerana sistem meriam akan memerlukan komponen yang sebahagian besarnya adalah sama sepertimana. Begitu juga pada peringkat asas latihan apabila kesemua krew atau pengendali sistem meriam 35mm boleh dilatih dalam tempoh yang sama, baik dari unit GAPU mahupun krew kapal TLDM.

Satu faktor utama lagi ialah bagaimana pihak pengeluar sistem, iaitu Oerlikon Contravers dilihat mempunyai kesungguhan dalam menempatkan kilang operasinya di negara ini iaitu di negeri Melaka sejak sekian lama dan dilihat sentiasa mempunyai komitmen tinggi dalam memastikan bahawa sistem meriam Oerlikon 35mm versi awal yang diguna pakai oleh pihak GAPU terus kekal berfungsi dan sistem-sistem seperti penderia Sky Guard masih mampu melaksanakan tugas mereka dengan efektif. Pihak Oerlikon Contravers juga adalah firma yang terlibat secara langsung dalam program NGPV milik TLDM. Memandangkan ia adalah pembekal utama kepada sistem arahan dan kawalan tembakan TMX/EO bagi kapal-kapal Kelas KEDAH, maka pemasangan dan ujian pelarasan sistem telah dilakukan di dalam negara ini. Malah sebahagian besar dari ilmu dan teknologi yang diguna pakai dalam proses pemasangan dan integrasi sistem telah diperturunkan kepada anak-anak tempatan yang berkhidmat dengan firma tersebut serta terlibat secara langsung dengan program NGPV.

Jika diimbas perkara ini, maka jelas sekali bahawa kewujudan firma asal dan kemudahan di lokasi pembuatan, fasilitas perkilangan OEM (Original Equipment Manufacturer) di Melaka dan khidmat nasihat secara langsung dari wakil OEM yang berpangkalan di dalam negara adalah contoh bagaimana setiap perolehan sebaiknya dilakukan dengan meletakkan jika tidak semua, maka sebahagian dari apa yang dilakukan oleh Oerlikon Contravers dijadikan sebagai pra-syarat. Selain itu sebahagian besar dari pra-syarat juga seharusnya meletakkan bahawa program timbal balik atau pemindahan teknologi difokuskan sebahagian besarnya kepada teknologi yang turut sama boleh dimanafaatkan oleh industri pertahanan lain. Dengan cara ini tumpuan dan fokus teknologi tersebut masih tertumpu kepada bidang pertahanan.

Kerjasama antara pihak OEM dan juga firma pertahanan tempatan juga mestilah benar-benar tulen dan mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi, terutamanya oleh pihak industri negara ini. Kita seboleh-bolehnya hendaklah cuba mengelakkan dari pembelian atau perolehan yang dianggap tunggal atau tidak memberikan manafaat kepada kepentingan strategik pertahanan negara pada jangka masa panjang. Ini sebenarnya mudah untuk dirangka sekiranya kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam membina kekuatan ATM seperti Kerajaan, Kementerian Pertahanan, STRIDE dan industri berkaitan pertahanan mempunyai pelan asas atau ‘blue-print’ arah halatuju pembangunan keupayaan pertahanan negara. Pelan asas ini hendaklah dijadikan panduan atau landasan yang dipatuhi sepenuhnya agar sasaran jangka panjang untuk berdikari dalam bahagian-bahagian kritikal pertahanan negara dapat ditampung sendiri oleh pihak industri tempatan. Bukan sekali umum melihat bagaimana perolehan-perolehan tertentu dilihat seperti tidak mempunyai atau menepati kesinambungan pembanguanan keupayaan ATM dan lebih kepada perolehan yang boleh diistilahkan sebagai ‘tangkap muat’ (mungkin ramai yang tidak bersetuju) atau yang mempunyai kepentingan tertentu yang tidak dapat dikenal pasti. Kadang-kala perubahan dalam pucuk kepimpinan cabang ATM serta Kementerian Pertahanan turut membawa kepada perubahan dan pelan asas ini diubahsuaikan tanpa melihat kepada jangkamasa panjang atau akibat di masa hadapan kepada sistem-sistem sedia ada.

Perolehan-perolehan yang dibuat sekiranya mampu dikategorikan sebagai ‘alat guna sama’ hendaklah diberikan keutamaan kerana ini akan mengurangkan kos serta memudahkan perkara-perkara yag berkaitan dengan sistem logistik, baik aset mahupun modal insan, Sistem bersifat modular yang boleh dipertingkatkan kemampuan dan diselaraskan penggunaannya walaupun dalam cabang perkhidmatan berbeza atau platform yang lain haruslah juga diberi keutamaan. Perolehan yang sebegini dan proses peningkatan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dan berkemungkinan besar akan menelan belanja yang bukan sedikit. Walaupun demikian seperti kata pepatah Melayu, ‘alah membeli, menang memakai’, mungkin merupakan peribahasa yang paling tepat dalam melaksanakan perolehan-perolehan sistem masa hadapan.

Sumber Rujukan: www.tempur.com.my

No comments:

Post a Comment