Buat entah berapa kalinya TEMPUR telah mencanangkan pelbagai perkara yang mempunyai kaitan dengan kehendak pengunaan sistem dan peralatan berkaitan pertahanan serta kemampuan pihak industri tempatan untuk memenuhi kehendak tersebut dan masalah-masalah yang terpaksa dihadapi dalam usaha cuba merealisasikan perkara tersebut.
Lazimnya isu ini akan ditimbulkan terutamanya setiap kali menjelang pameran-pameran pertahanan terkemuka global seperti DSA dan LIMA. Dalam pameran-pameran tersebut, lazimnya pihak TEMPUR akan cuba mendapatkan maklum balas terhadap kehendak pihak-pihak agensi keselamatan dan di pihak industri pula kemampuan dan peluang yang diberi, manakala perantara mereka pula adalah agensi-agensi seperti Majlis Industri Pertahanan Negara (MIPN) dan STRIDE. Apa yang menarik ialah kedua-dua pihak kelihatannya seperti mana yang sepatutnya, menjalin hubungan akrab dan saling menyokong antara satu dengan lain bagi memenuhi kehendak masing-masing selain menjadi penyumbang utama kepada benteng pertahanan negara.
Jika gambaran yang diberikan di atas adalah sesuatu yang nampak begitu menarik dan bakal memberikan negara satu mekanisma yang mantap untuk memperkukuhkan benteng pertahanan negara. Ini kerana jika industri tempatan mampu memberikan khidmat sistem serta kelengkapan fizikal seperti sistem persenjataan dan automotif yang diperlukan oleh angkatan tentera, maka tentunya ia satu perkara yang amat postif sekali. Ini kerana jika hampir kesemua kehendak pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dipenuhi. Selain itu aliran dana atau wang negara juga dapat dijimatkan, manakala tahap keselamatan atau maklumat sistem yang boleh dianggap sebagai sulit atau strategik dapat dipelihara. Industri tempatan juga bakal terus menjadi paksi kepada penciptaan dan peningkatan teknologi berkaitan keselamatan yang dinamik hasil dari program-program penyelidikan dan pembangunan yang kukuh dibekalkan oleh modal pusingan hasil penjualan sistem dan kelengkapan kepada ATM.
Gambaran perhubungan utopia ini sememangnya terlalu indah namun ramai berpendapat hakikat adalah sebaliknya. Walaupun secara terbuka nampaknya kesemua pihak yang terlibat mempunyai hubungan yang akrab dan saling membantu serta memahami antara satu dengan lain, ramai berpendapat ianya tidak seindah atau semudah sedemikian. Malah tidak kurang yang menganggap bahawa hakikat adalah disebaliknya dan hubungan adalah lebih mirip kepada pergantungan kehendak ekonomi semata-mata. Selain itu hubungan ini terpaksa dikekalkan walau apapun kerana sejak dari awal telah ditetapkan bahawa kedua-dua pihak mestilah menjalin hubungan yang sedemikian kerana ia melibatkan faktor dasar. Tentunya ada pihak yang akan mula menganggap bahawa apa yang tertera ini adalah satu salah tanggapan atau mungkin juga ‘pertuduhan liar’ yang tidak berasas sama sekali! Mungkin juga ada yang kini melenting dan menganggap ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diketengahkan kepada umum atas pelbagai sebab, antaranya keselamatan, ekonomi, maruah dan pelbagai rasa. Ini sebenarnya adalah satu penyakit budaya yang tidak sepatutnya ditangani dengan cara ‘tradisional’ orang Timur, lazimnya dengan perlahan-lahan atau secara halus di sapukan di bawah permaidani agar ia tidak dapat dilihat oleh orang ramai dan berdoa agar segala sampah sarap tersebut akan ghaib begitu saja dimakan masa. Malangnya dalam dunia teknologi maklumat hari ini dan era suasana politik dan pemerintahan yang mencanangkan kepentingan akauntabiliti, perkara tersebut tidak boleh diketepikan dengan mudah sepertimana sebelumnya.
Bagi memberikan umum atau lebih tepat lagi pembaca untuk menimbangkan perkara tersebut dengan lebih adil dan objektif, seharusnya pelbagai faktor diberikan pertimbangan dan diteliti. Namun harus diingat bahawa seperti mana-mana perkara yang berkaitan dengan pertahanan, maklumat yang diperolehi atau mampu didapatkan oleh umum kadang-kala adalah agak terhad akibat kekangan-kekangan tertentu seperti keselamatan maklumat dan tahap kerahsiaan tinggi yang ditetapkan oleh pihak ATM.
Untuk melihat perkara ini dengan lebih jelas, mungkin cara terbaik ialah dengan melaksanakan satu proses pengumpulan dan kajian maklumat yang dapat diperolehi dengan agak mudah dan terserlah. Mungkin sempena sambutan Hari Tentera Darat pada bulan Mac dan sebagai tunggak kepada benteng pertahanan negara, maka organisasi tersebut dapat dijadikan contoh penanda aras terbaik mengenai apakah benar bahawa hubungan antara industri tempatan dan ATM berada dilandasan yang sepatutnya, ia sememangnya memerlukan perubahan atau apa yang diperkatakan ini adalah cakap-cakap kosong yang tidak berasas sama sekali.
Polisi membangunkan kemampuan pertahanan ATM
Sebagai sebuah organisasi cabang angkatan tentera yang dianggap paling tua maka tentunya pada awal permulaan penubuhannya serta sebaik selepas merdeka, sistem dan peralatan yang diguna pakai adalah sepenuhnya atau jika tidakpun sebahagian besarnya adalah yang telah diserahkan oleh pihak bekas penjajah kepada organisasi tersebut. Ini tentunya akibat dari perspektif langsung penubuhan tentera darat yang telah lama wujud sebelum terbentuknya negara ini menjadi sebuah negara merdeka. Disamping itu memandangkan anggota-anggota tentera darat telah ‘serasi’ dengan sistem latihan menggunakan kelengkapan sedia ada, tentunya cara terbaik untuk memastikan bahawa sistem pertahanan negara kekal utuh, maka kesinambungan penggunaan sistem sedia ada diteruskan. Ini terutamanya kritikal pada awal permulaan kemerdekaan dan ketika negara diancam konflik serantau dengan Indonesia dan Filipina serta dari ancaman dalaman ketika era-pemberontakan Parti Komunis Malaya.
Keadaan ini walaubagaimanapun mula berubah apabila negara mula membina kekuatan tentera daratnya dengan perolehan-perolehan tersendiri yang menyaksikan beberapa sistem dan peralatan dibeli dari negara bukan bekas penjajah. Bagi tentera darat ini termasuklah sistem senjata ringan seperti raifal Heckler & Koch (HK) dari Jerman dan kenderaan berperisai Panhard M3 dari Perancis. Pembelian dari sumber atau perolehan baru ini walaubagaimanapun tidaklah dianggap sebagai begitu ketara atau membawa sebarang perubaan besar, malah kedua-dua sistem hanya diguna pakai dalam masa yang agak singkat di negara ini atas pelbagai sebab. Malah perolehan sistem raifal HK 33 dianggap sebagai sesuatu yang kontroversi kerana tempoh penggunaannya yang terlalu singkat dalam perkhidmatan tentera darat, manakala kenderaan Panhard M3 juga mengalami nasib sama kerana dikatakan tidak mempunyai keupayaan yang tinggi untuk diguna pakai dalam perkhidmatan ketenteraan dan dianggap lebih sesuai dalam peranan kawalan keselamatan.
Menjelang akhir tahun 1980an dan pertengahan 1990an apabila keadaan ekonomi negara dilihat berada dalam keadaan yang amat baik, proses perolehan dari negara-negara bukan tradisional seperti Britain dan Amerika Syarikat dilihat semakin meningkat. Proses kematangan fikiran kepimpinan negara yang lebih dinamik dan anjakan politik global yang berubah telah memungkinkan keadaan ini berlaku. Perolehan pada era ini dianggap antara yang paling unik serta telah mengubah ciri-ciri kemampuan pertahanan negara dari bersifat kekuatan pasif kepada kemampuan pertahanan hadapan yang aktif dan agresif. Namun dalam hal ini tentera darat dilihat tidak lagi memainkan peranan sebagai peneraju perubahan, sebaliknya cabang laut dan udara ATM dilihat lebih berani untuk melaksanakan perolehan sedemikian. Antara yang paling menonjol ialah perolehan pesawat udara MiG-29N oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tentera Darat pula menyaksikan bagaimana sistem raifal M16A1 buatan Amerika Syarikat yang diguna pakai oleh pihak infantri ditukarkan kepada sistem Styer AUG dari Austria. Ini dianggap sebagai sesuatu yang menarik kerana tidak banyak negara yang menggunakan sistem raifal yang mempunyai sifat fizikal sedemikian, iaitu sistem yang diklasifikasikan sebagai ‘Bull-pup’ pada ketika itu.
Pembelian dan perolehan yang dibuat oleh negara ketika itu menyaksikan bagaimana penglibatan firma-firma atau industri tempatan dalam bidang berkaitan pertahanan dan kelengkapan sistem persenjataan. Antara yang paling awal adalah firma Syarikat Malaysia Explosive atau lebih dikenali dengan akronimnya SME yang telahpun mula beroperasi sejak dari penghujung tahun 1969. Ia mempunyai aktiviti yang mengkhusus kepada pembuatan dan pembekalan sistem senjata, peluru dari yang kecil hinggalah sederhana dan besar, perlbagai jenis bom serta produk pertahanan berasaskan kayu, plastik dan juga logam. Satu lagi industri yang dilihat turut menyumbang dan mendapat faedah hasil dari perolehan dan pembelian aset ketenteraan adalah industri automotif. Antara yang paling terkemuka adalah firma DEFTECH yang membekalkan pelbagai jenis kenderaan, dari yang berkaitan dengan pengangkutan anggota infantri dan utiliti kepada platform senjata dan kenderaan berperisai.
Bagi memastikan bahawa aktiviti dan hubungan antara pihak ATM dan industri pertahanan kekal releven, beberapa mekanisma diwujudkan oleh pihak Kementerian Pertahanan . Dua darinya adalah agensi Majlis Industri Pertahanan Negara atau MIPN dan juga STRIDE. MIPN ditubuhkan khas untuk pembangunan industri pertahanan tempatan agar ianya berkemampuan untuk menyediakan keperluan pertahanan negara. Menurut Kementerian Pertahanan, objektif penubuhan MIPN adalah;
“Pembangunan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing dalam menyediakan keperluan pertahanan negara ke arah menjadikan Angkatan Tentera Malaysia yang moden, berkesan dan “self-reliance” adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bekalan peralatan dan perkhidmatan penyelenggaraan dari luar negara. Walaupun kemajuan industri pertahanan tempatan masih berada di tahap sebagai negara pengguna, usaha-usaha sedang giat dilakukan untuk menjadikan industri ini sebagai salah satu industri strategik yang dapat memenuhi keperluan pertahanan negara dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara” .
STRIDE pula atau satu masa dahulu dikenali sebagai PSTP (Pusat Sains Teknologi Pertahanan) adalah merupakan satu-satunya organisasi dibawah payung Kementerian Pertahanan yang berfungsi untuk membekalkan kepakaran saintifik kepada ATM dengan melaksanakan pelbagai ujian, sama ada untuk menguji kemampuan sesuatu peralatan atau sistem yang mahu diperolehi mahupun digunakan oleh pihak industri tempatan dalam menguji keberkesanan sesuatu sistem atau alat yang sedang dalam proses dihasilkan bagi kegunaan dalam ATM.
Secara teorinya apa yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pertahanan adalah sesuatu yang amat praktikal dan sememangnya perlu. Walaupun demikian hakikatnya adalah sesuatu yang perlu dilihat secara lebih mendalam. Ini kerana sejak Kementerian Pertahanan mewujudkan kedua-dua entiti, keadaan industri pertahanan negara dan sistem peralatan yang diguna pakai oleh pihak tentera darat umpamanya tidak banyak berganjak dari status awalnya. Perubahan dan penigkatan dilihat lebih menjurus kepada sistem, kelengkapan dan peralatan yang boleh dianggap sebagai bersifat ‘komersial-tulen’ dan tidak banyak menyentuh bidang-bidang yang dianggap kritikal atau strategik yang sebenarnya adalah merupakan tulang belakang kepada keupayaan dan sistem pertahanan sesebuah negara. Apa yang dimaksudkan sebagai sistem ‘komersial-tulen’ adalah sistem atau kelengkapan yang mempunyai dwi-fungsi iaitu bagi penggunaan ketenteraan dan juga komersial. Sistem-sistem sebegini termasuklah pembuatan pakaian dari uniform, kasut dan beg galas, rangsum atau makanan segera, dapur bergerak serta khemah. Kesemua peralatan yang disebutkan ini mempunyai dwi-fungsi, iaitu selain dihasilkan dengan warna atau celoreng ketenteraan, dengan hanya menukar warna serta menambah ciri-ciri komersial lain seperti manambah ciri-ciri keselesaan yang lebih sesuai untuk pasaran umum, ia sesuai bagi kegunaan pihak awam. Kelengkapan dan peralatan ini boleh digunakan oleh pihak bantuan kecemasan seperti Pasukan Bulan Sabit Merah atau Pertahanan Awam dalam situasi bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau kemalangan berskala besar.
Apa yang didapati kurang menyenangkan ialah bagaimana sistem-sistem yang dianggap kritikal atau mempunyai keupayaan bercorak strategik kepada pertahanan negara seakan tidak mendapat perhatian serius oleh pihak ATM untuk dibangunkan berbanding sistem dan aset komersial tulen. Apakah sistem yang boleh dianggap sebagai mempunyai sifat atau nilai strategik? Secara mudahya aset sedemikian ialah sistem atau kelengkapan yang boleh dijadikan tunggak atau paksi kepada kemampuan kekuatan sebuah angkatan tentera, atau sistem yang mampu mengubah ciri-ciri medan tempur sehingga mendatangkan kesan positif kepada arah halatuju sesuatu pertempuran yang sedang berlaku. Contoh sistem sedemikian yang berkonsep maya adalah ialah sistem komunikasi dan kawalan informasi manakala yang fizikal adalah seperti sistem peluru berpandu, sistem senjata pemusnah besar-besaran, kereta kebal serta sistem roket berganda.
Produk Tempatan dan tentera darat
Bagi pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai pengguna aset yang paling banyak berbanding dua lagi cabang laut dan udara, perolehan yang dilaksanakan nya tentu sekali bukan sedikit. Jika dilihat kepada objektif atau kehendak Kementerian Pertahanan untuk cuba mengurangkan pergantungan kepada sistem dan kelengkapan asing dalam sistem pertahanan negara, semestinya fokus yang mestikan diberikan penekanan ialah untuk membina satu kekuatan industri yang baik dalam bidang berkaitan industri pertahanan strategik. Tidak dapat dinafikan bahawa sistem berbentuk komersial tulen mempunyai kepentingannya, tetapi tentera darat umpamanya tentu sahaja tidak akan berpuas hati jika kecanggihan pasukan tersebut hanya terkenal setakat mempunyai sistem uniform atau beg galas tempur yang nampak cantik mahupun rangsum yang dianggap mempunyai rasa yang enak sekali. Ini kerana ‘core-business’ atau tugas teras sebuah angkatan tentera adalah untuk melaksanakan operasi bercorak ketenteraan untuk memusnahkan ancaman dengan efektif. Ini memerlukan pemilikan sistem persenjataan dan pertahanan yang baik lagi berkemampuan tinggi dapat diguna apabila diperlukan. Tentunya reputasi dan kemampuan TDM bakal lebih digeruni sekiranya ia memiliki sistem dan kelengkapan bercorak strategik dan kritikal yang mantap kerana ia boleh diibaratkan sebagai penukul yang benar-benar dapat menghancurkan ancaman mendatang dan ini tentunya dalam bentuk sistem persenjataan dan bukan kasut atau rangsum hotel lima bintang.
Bukanlah menjadi satu kesukaran untuk melihat atau membuat perbandingan mengenai apakah tahap penggunaan atau perolehan. Pada pameran-pameran perta-hanan, kita tentunya akan dapat melihat sejauh manakah firma-firma tempatan telah berjaya menghasilkan sistem untuk keperluan penggunaan pihak TDM. Pada hari-hari kebesaran atau sempena ulang tahun serta lawatan orang kenamaan ke unit-unit atau kem TDM, kita pula lazimnya akan disajikan dengan sistem dan kelengkapan yang telahpun diguna pakai oleh pihak mereka. Kedua-dua pameran atau pertunjukan serta perbarisan ini walapun mempunyai tarikh dan lokasi yang berbeza boleh dijadikan kayu pengukur mengenai bagaimanakah kemampuan firma dan industri tempatan dalam membekalkan sistem yang diperlukan oleh pelanggan utama mereka dan sejauh manakah kementerian Pertahanan ‘mengota apa yang dikata’ mengenai kehendak mereka mengurangkan pergantungan kepada produk-produk asing dalam isu pertahanan negara.
Untuk mendapatkan gambaran hakiki terhadap perkara ini kita boleh melakukan kajian am mengenai aset dan peralatan yang digunakan dan melihat sejauh manakah konsep mahukan kebergantungan yang paling minima kepada produk luaran telah berjaya dikurangkan. Sesetengah produk tidak mempunyai kategori yang boleh dilabelkan sebagai buatan negara luar atau buatan Malaysia sepenuhnya kerana dalam kontrak perolehan dan pembelian umpamanya, dasar Kementerian Pertahanan dan kerajaan ialah untuk memperuntukkan klausa-klausa tertentu yang mensyaratkan agar firma pengeluar memindahkan sebahagian dari teknologi atau ilmu kepada firma dan institusi tempatan. Kita boleh membahagikan kehendak dan keperluan TDM kepada tiga kategori utama yang dianggap sebagai kehendak asas kemampuan sebuah angkatan tentera darat moden hari ini. Ianya adalah pertama, sistem persenjataan, bagi individu dan kumpulan, kedua, sistem pengangkutan atau mobiliti dan ketiga, sistem elektronik serta komunikasi selamat. Ketiga-tiga faktor ini dianggap oleh banyak pihak sebagai antara faktor yang bakal menjadi penentu untuk kemampuan hakiki sebuah angkatan tentera darat.
Bagi sistem persenjataan hampir kesemua sistem yang digunakan oleh TDM baik bagi tujuan penggunaan individu mahupun kumpulan dari sekecil-kecil kaliber sehinggalah kepada meriam dan pelancar roket berganda adalah merupakan yang diimport dari luar sepenuhnya. Industri negara hanya mempunyai kemampuan untuk menghasilkan sistem peluru pelbagai kaliber dan inipun kadang-kala turut mendapat teguran dari beberapa pihak, terutamanya dari segi kualiti bahan yang dihasilkan. Apa yang dimaksudkan disini bukanlah bermakna sistem peluru yang dihasilkan adalah kurang bermutu keseluruhannya, namun dirasakan pihak yang menegur ialah banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pengeluar peluru tempatan untuk mempertingkatkan mutu pengeluarannya dari beberapa sudut. Ini terutamanya dari segi mutu belerang yang diguna pakai serta tahap toleransi kelongsong mengikut piawaian yang sepatutnya.
Sistem persenjataan individu dimiliki oleh pihak TDM pula mempunyai sejarah yang agak unik kerana setelah lebih 50 tahun merdeka, TDM masih tidak mempunyai sistem raifal buatan dalam negara yang boleh dibanggakan dan mampu melambangkan kemampuan industri pertahanan yang mempunyai identiti tersendiri. Apa yang agak mendukacitakan ialah bagaimana penukaran sistem raifal yang dilihat sebagai mempunyai sejarah yang boleh diragukan polisinya. Ini kerana pembelian yang dilakukan sepatutnya tidak dibuat dengan secara agak terburu-buru sehinggakan raifal yang diperolehi tidak digunakan untuk jangka waktu panjang, malah apa yang mungkin turut dipersoal ialah apakah perolehan-perolehan ini dibuat dengan mengambil kira pelan jangka panjang penggunaan senjata ringan oleh pihak TDM, atau apakah TDM sendiri mempunyai konsep raifal untuk infantrinya tersendiri yang benar-benar berasaskan keperluan tersendiri dan bukan kerana sesuatu sistem itu dianggap sebagai menjadi ‘trend’ penggunaan negara-negara sahabat mahupun serantau!
Raifal – teman anggota TDM yang paling setia
Bagi setiap anggota TDM, raifal adalah merupakan peralatan yang paling penting dalam kerjayanya, kerana apalah infantri jika tidak dengan raifalnya. Sejarah TDM telah menyaksikan bagaimana pada peringkat awal, anggota-anggotanya dibekalkan dengan sistem peninggalan tentera British dalam bentuk raifal SLR berkaliber 7.62mm. Pada penghujung tahun 1960an, banyak pihak berpendapat bahawa sistem raifal SLR adalah terlalu panjang, berat serta mempunyai kaliber peluru besar yang sukar dikawal oleh anggota TDM yang rata-ratanya bertubuh kecil. Peringkat awal menyaksikan bagaimana raifal buatan firma Jerman Heckler Koch G33 mula diserapkan dalam perkhidmatan. Namun ia tidak bertahan lama kerana dikatakan kerap mengalami hentian atau ‘stoppages’ ketika dioperasikan sewaktu pertempuran. Keadaan ini menjadi begitu buruk sehingga menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, terdapat unit-unit TDM membantah penggunaan raifal tersebut dan mengugut tidak akan keluar beroperasi menentang gerila Parti Komunis Malaya (PKM) sekiranya tidak diberikan semula raifal SLR yang dilihat lebih efisyen dan efektif berbanding HK G33.
TDM kemudiannya melihat kepada raifal M16A1 yang turut digunakan oleh tentera Amerika Syarikat di Vietnam. Kaliber peluru yang lebih rendah, saiz yang lebih kecil serta berat yang ringan, penggunaan polimer yang tidak dimamah serangga dalam persekitaran negara yang panas dan lembap menjadikan sistem M16A1 dianggap sebagai senjata yang paling bersesuaian. Raifal ini mula menggantikan sistem SLR dan HK G33 sekitar tahun 1975. Raifal M16A1 bukan sahaja diguna pakai oleh pihak ATM tetapi pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menjadikannya sebagai senjata utama mereka dalam operasi-operasi menentang PKM. Pada pertengahan tahun 80an pula satu lagi fenomena dilihat mula bertiup dalam TDM berkaitan sistem raifal infantri mereka. Namun angin perubahan ini dikatakan sekali lagi mempunyai ciri-ciri yang boleh dipertikaikan kesahihannya. Ini kerana kali ini TDM berminat bukan sahaja untuk menukar sistem senjata raifal, tetapi mahu mendakap konsep baru dalam rekabentuk raifalnya dari sistem fizikal berbentuk konvensional kepada sistem ‘Bull-pup’.
Secara amnya sistem Bull-pup adalah merupakan konsep yang telah lama wujud, iaitu sejak dari Perang Dunia Kedua lagi. Sistem rekabentuknya ialah dengan memindahkan bahagian kelopak agar ianya berada di belakang tangkai pemegang atau picu. Selain itu memandangkan panjang raifal boleh dikurangkan akibat ketiadaan udi tradisonal, bahagian pejera haruslah agak tinggi dari biasa dan untuk memudahkan tenangan lazimnya sistem pejera optik kekal dipasangkan pada raifal. Persoalan yang harus ditanya ialah kenapakah TDM berpendapat bahawa wujud keperluan untuk menggantikan sistem raifal M16A1nya yang telah sekian lama dipercayai dengan yang lebih baru? Selain itu kenapakah bertukar arah dari sistem konvensional kepada sistem Bull-pup? Apapun jawapannya tentu tersemat dalam fail sulit dan laporan uji nilai pihak TDM sendiri. Apa yang merungsingkan ialah mungkin pertukaran tersebut mempunyai kaitan dengan jenis sistem raifal dan senjata yang digunakan oleh negara-negara yang rapat hubungan ketenteraannya dengan Malaysia ketika itu, terutamanya negara-negara rakan FPDA atau ‘Five Power Defense Agreement’, khususnya Britain, Australia dan juga New Zealand? Mungkinkah TDM merasakan teruja kerana hanya ia sahaja yang menggunakan sistem raifal ‘lama’ jenis M16A1 dalam latihan-latihan bersama, selain dari Singapura. Britain menggunakan sistem raifal EM, manakala Australia dan New Zealand pula Steyr AUG. Pada 1989 TDM secara rasminya membuat pertukaran dari raifal M16A1 kepada raifal Steyr AUG bagi anggota infantrinya.
Sekiranya TDM benar-benar telah menguji dan berpuas hati dengan sistem versi Bull-pup dan raifal Steyr AUG, kenapa pada 2006 keputusan dibuat untuk kembali menggunakan sistem versi M16 yang telah dipertingkatkan kemampuannya, iaitu sistem M4? Apakah setelah 20 tahun kini TDM mula menyedari bahasa sistem Steyr AUG yang diguna pakai selama hari ini sebenarnya tidak lagi praktikal untuk diguna pakai? Pada penghujung 2008 anggota-anggota TDM mula menerima sistem raifal M4. Ini juga bermakna bahawa TDM telah melaksanakan empat pertukaran pada raifal infantri, dari SLR, HK G33, M16A1, Steyr AUG dan akhirnya M4 (sehingga kini) sejak dari akhir tahun 1960an hingga 2006.
Satu lagi persoalan yang harus dijawab ialah bagaimanakah hasrat ATM mahu mengurangkan pergantungan kepada firma asing dalam usaha untuk memastikan bahawa industri tempatan berkeupayaan untuk memenuhi kehendak pertahanan negara? Jika dilihat dalam isu raifal peribadi anggota, apa yang nyata ialah teknologi industri negara dalam perkara ini masih berada pada tahap yang kurang memuaskan. Walaupun dicanangkan bahawa perolehan sistem Steyr AUG dipersetujui dengan pemindahan teknologi dan kemahiran dalam pembuatan raifal, namun tidak diketahui sehingga tahap manakah kemampuan SME dalam penguasaannya menghasilkan raifal tempur setelah lebih 20 tahun mengilangkan raifal Steyr AUG. Kini SME menjalinkan pula kerjasama industri dengan firma Colt Industries dari Amerika Syarikat yang menghasilkan sistem M4. Apakah persefahaman sama sepertimana yang terdapat dengan perjanjian bersama-sama firma Steyr dari Austria dalam penghasilan raifal tempur Steyr AUG bakal menjadi kenyataan dengan raifal M4? Jika ini benar, ia bermakna negara masih tidak akan mampu menghasilkan raifal sepenuhnya, tetapi hanya boleh mengilangkan komponen-komponen tertentu sahaja. Persoalannya kenapa tidak?
Apa yang pasti ialah negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Filipina telahpun mampu menghasilkan sistem raifal mereka sendiri sama ada yang dilesenkan (Filipina) atau ciptaan sendiri (Singapura & Indonesia). Bagaimana Malaysia? Apa yang pasti selepas lebih 50 tahun merdeka, masih tidak ada selaras senjatapun yang mempunyai tulisan ‘Made in Malaysia’ yang wujud pada mana-mana sistem senjata ringan, baik pistol, submesingan mahupun raifal serta mesingan. Kenapa ini boleh berlaku dan terus dibiarkan berlaku walhal slogan ‘Malaysia Boleh’ dilaungkan oleh semua peringkat dari anak-anak kecil sehinggalah orang tua atas seruan oleh pihak berwajib? Kenapakah tidak ada campurtangan pihak berwajib atau mereka melihat perkara seperti raifal tempur adalah sesuatu yang remeh berbanding perolehan sistem-sistem yang dianggap lebih kritikal. Mungkin ada pihak yang membantah keras komen sinis yang dilaungkan ini dan mencanangkan bahawa pada pameran Defense Services Asia atau DSA beberapa tahun lalu, ada firma Malaysia yang telah mengetengahkan beberapa jenis prototaip raifal dan pistol yang mempunyai konsepnya tersendiri. Sistem senjata individu yang dinamakan Brapi ini sememangnya nampak canggih, namun seperti kebanyakan produk yang timbul di khalayak umum apabila tiba musim pameran pertahanan, sebaik tamatnya pameran ianya terus tenggelam. Nama Brapi nampaknya tinggal asap sahaja!
Bagaimanakah pula program-program negara lain? Apakah mereka menghadapi masalah sama dan mempunyai kemelut pertukaran raifal individu sepertimana Malaysia? Kita boleh mengambil contoh sebuah negara maju, Perancis, yang hari ini tentera daratnya menggunakan sistem raifal Famas G1 dan G2. Idea untuk memperkenalkan sistem raifal Famas dalam tentera darat Perancis mula dibuat sejak tahun 1967 dan prototaip raifal tersebut disiapkan pada 1971. Pihak tentera Perancis mula menguji raifal Famas setahun kemudian. Sementara menantikan tempoh ujian selesai dan penghasilan sistem raifal baru ini secara besar-besaran, pihak tentera darat Perancis telah terpaksa mencari sejenis senjata yang dikatakan dapat mengisi kekosongan sistem raifal infantri memandangkan sistem senjata individu sedia ada era pasca Perang Dunia Kedua iaitu raifal MAS 40 dan submesingan MAT-49 dianggap tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi menghadapi ancaman semasa. Dua sistem telah diuji, iaitu sistem HK33 dan SIG 540. Sistem raifal HK33 (raifal jenis sama yang kemudiannya diterima pakai oleh pihak TDM) telah gagal melepasi ujian yang ditetapkan dan Perancis telah memilih sistem raifal SIG 540 buatan Switzerland. Untuk kegunaan tentera daratnya, Perancis telah mengilangkan sendiri raifal tersebut dibawah lesen oleh sebuah firmanya sendiri, iaitu Manhurin. Pada 1978 barulah sistem raifal Famas F1 yang dihasilkan oleh firma Giat (juga sebuah firma tempatan terkemuka Perancis) diterima pakai oleh tentera darat Perancis. Sejak dari penerimaan sistem tersebut dalam perkhidmatannya, Perancis terus kekal menggunakan sistem raifal sama, namun dalam variasi yang dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak sistem persenjataan terkini dan ancaman yang wujud. Kini terdapat tiga versi sistem raifal Famas, iaitu F1 versi paling awal, G1 dan kemudiannya G2 yang dkatakan mampu diasimilasikan dalam sistem perajurit masa hadapan Perancis (FELIN).
Ketetapan yang telah dibuat oleh pihak tentera darat dan sokongan yang diberikan oleh pihak kementerian pertahanan mereka dalam mencari raifal buatan tempatan selain dari kesungguhan industri tempatan menghasilkan raifal yang terbaik perlu dicontohi oleh kesemua pihak yang terlibat dalam perkara sama di negara ini. Malah raifal yang bakal digunakan untuk sementara waktu juga turut dikilangkan oleh firma tempatan, apa lagi yang bakal diguna pakai oleh kesemua anggota infantrinya. Ini jelas sekali satu polisi yang bijak bukan sahaja dari sudut tidak bergantung kepada pihak luar, tetapi juga satu polisi bernas dari sudut ekonomi dan pemindahan teknologi.
Kenderaan berperisai
Jika apa yang berlaku terhadap bidang senjata ringan agak mengecewakan, tentunya bidang automotif dilihat mampu memberikan sedikit sinar harapan kepada industri pertahanan tempatan. Ini kerana sejak kereta buatan negara pertama Proton Saga dihasilkan pada awal tahun 1980an, tentunya setelah hampir 30 tahun, industri pertahanan negara mampu menghasilkan kenderaan berperisai yang mempunyai kemampuan tinggi. Apabila firma Deftech diberikan amanah untuk membekalkan sistem kenderaan berperisai berunut yang diklasifikasikan sebagai Adnan AFV, ia dinobatkan oleh media tempatan sebagai satu langkah utama yang akan memberikan anjakan kemampuan tinggi kepada industri automotif pertahanan negara. Tidak lama selepas itu sebuah lagi firma automotif pertahanan utama negara, MMC Defence telah diberikan kontrak untuk membekalkan kereta kebal utama kepada pihak TDM. Walaupun pada awalnya langkah tersebut mendapat kecaman dari beberapa pihak, namun hasrat TDM untuk meneruskan program pembangunan dan pemodenan hakiki ini diteruskan.
Seperti lazimnya pelbagai program timbal balik dan pemindahan teknologi diketengahkan dan kenderaan-kenderaan seperti sistem Adnan dan kereta kebal Pendekar kini telah diterima dan diguna pakai oleh TDM, sejauh manakah program-program tersebut telah memberikan manafaat sepertimana yang sepatutnya tidak dapat dipastikan. Tetapi apa yang jelas ialah bagi kenderaan Adnan, sebaik sahaja kesemua kenderaan pelbagai versi berjaya dihantar kepada pihak TDM, program tersebut seakan tidak lagi menjadi tumpuan dan umum sendiri tidak mengetahui apakah firma Deftech telah benar-benar dapat menguasai teknologi pembuatan kenderaan berperisai berunut mahupun beroda. Atau sebaik kenderaan Adnan melepasi stesen akhir dalam proses penghasilan kenderaan dan jumlah kenderaan teleh memenuhi kuaotanya, maka ‘assembly-line’ bagi kenderaan tersebut terpaksa ditutup kerana ketiadaan permintaan baru dari TDM, mahupun negara ketiga yang lain. Ini menimbulkan persoalan apakah firma automotif pertahanan tempatan diwujudkan hanya sebagai batu loncatan bagi TDM untuk mendapatkan kenderaan yang dimahukannya. Atau ia benar-benar satu program jangka panjang yang bakal memberikan industri automotif satu kelebihan, iaitu mendapatkan kemahiran dan ilmu dari firma-firma asing yang telah berpengalaman dalam menghasilkan sistem kenderaan khusus seperti kereta perisai dan juga kereta kebal.
Jika kenderaan-kenderaan berunut seperti Adnan AFV dan juga Pendekar dianggap mempunyai tahap teknologi yang jauh kehadapan, bagaimana pula dengan sistem kenderaan berperisai beroda? Apa lagi jika kenderaan berperisai beroda yang mahu diguna pakai adalah bagi tujuan kawalan keselamatan, rondaan khusus atau sebagai tapak sistem persenjataan. Tentunya setelah bertahun-tahun menggunakan kenderaan seperti Land Rover dan juga G-Wagon, manakala turut mempunyai pengalaman dalam proses senggaraan kenderaan seperti Condor dan Commando V150, firma automotif pertahanan tempatan mampu mereka-bentuk dan membina sebuah sebuah kenderaan pacuan 4x4 yang lasak serta berkemampuan tinggi yang setara dengan apa yang dihasilkan 30 malah bagi sistem Land Rover, lebih 40 tahun lalu oleh firma negara asalnya di Eropah. Apabila keputusan dibuat oleh pihak Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan berpuluh-puluh buah kenderaan Vamtac dari Sepanyol, (walaupun perolehan dibuat dengan menggunakan sebuah firma tempatan yang lain) banyak pihak tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku. Sekali lagi faktor sindrom TDM dalam perolehan raifal Steyr AUG kembali menghantui pemikiran ramai. Apakah kerana hari ini trend penggunaan kenderaan yang mempunyai ciri-ciri seperti kenderaan Humvee dilihat diserata konflik global, maka TDM pun mesti mempunyai kenderaan yang sedemikian, atau ianya hanyalah secara kebetulan sahaja. Namun jika tujuan utama perolehan sistem kenderaan Vamtac adalah kerana TDM memerlukan satu platform persenjataan pelbagai guna, menambah satu lagi jalur logistik dari negara yang berbeza bagi sebuah kederaan pacuan empat roda boleh dipertikaikan, apa lagi jika ianya diambil dari luar negara. Satu persoalan juga sepatutnya harus djawab sebelum keputusan untuk membeli kenderaan Vamtac diumumkan, iaitu apakah tidak ada industri tempatan yang mampu menghasilkan kenderaan pacuan empat roda sepertimana yang dimahukan oleh TDM? Selain itu jika banyak pihak memperlekehkan industri tempatan kerana dikatakan kerap lewat atau tidak menepati jadual penghantaran aset, hakikatnya perolehan dengan firma-firma luar negara turut memperlihatkan masalah sama. Umpamanya sistem kenderaan Vamtac yang dijadualkan akan diserahkan kepada TDM pada penggal pertama tahun ini dijangka tidak akan mampu dilaksanakan, malah sehingga artikel ini ditulis belum sebuah pun kenderaan tersebut berada dalam tangan TDM.
Keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan kenderaan pacuan 4x4 sebenarnya telahpun dipamerkan oleh firma Deftech pada pameran DSA yang lalu dalam bentuk kenderaan yang diklasifikasikan mereka sebagai AV4. Persoalan yang perlu ditanyakan ialah kenapakah TDM memesan sejumlah kenderaan tenggekan senjata pacuan empat roda dari firma luar negara walhal pada masa sama firma Deftech juga turut membina sejenis kenderaan pacuan empat roda dan menawarkannya kepada TDM. Apakah tidak ada persefahaman atau rundingan antara pihak Kementerian Pertahanan, TDM dan Deftech? Jika TDM menyatakan bahawa spesifikasi AV4 tidak menepati ciri-ciri kenderaan pacuan empat roda tenggekan senjata yang mahu digunakan oleh mereka, apakah Deftech melaksanakan program tersebut secara rahsia dan tidak langsung mengambil kira keperluan TDM. Jika ia benar, ini bermakna Deftech mempunyai penasihat-penasihat pembangunan perniagaan yang amat kolot lagi jumud. Jika TDM tidak langsung memberikan peluang kepada Deftech atau industri tempatan lain yang berkemampuan untuk membina kenderaan pacuan empat rodanya tersendiri dan memberikan input yang bernas, maka ini bermakna TDM tidak menghormati kemampuan industri tempatan. Bagaimana pula peranan yang sepatutnya dimainkan oleh MIPN dan STRIDE? Malah MIPN sepatutnya menjadi jambatan yang mampu menghubungkan antara pihak pembuat, pembekal dan pengguna. Ini agak berbeza dengan Indonesia dan Singapura yang masing-masing juga mempunyai industri pertahanan yang kukuh, terutamanya Singapura. Hubungan antara sektor industri pertahanan, kementerian pertahanan dan pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan pertahanan mereka dilihat lebih bijak dalam menyusun langkah yang teratur dalam membangun dan mengeksploitasikan kemampuan masing-masing demi untuk mempertingkatkan kualiti produk serta daya pertahanan negara.
Jika jawapan kepada persoalan dan kekalutan ini ialah kerana pihak TDM dan Kementerian Pertahanan mendapati bahawa produk yang dibekalkan oleh firma tempatan tidak menepati piawaian dan kehendak TDM, tentunya kita harus mencari satu jalan penyelesaian yang bijak. Pertamanya apakah benar bahawa kerja dan produk yang dihasilkan oleh firma automotif pertahanan negara adalah kurang bermutu? Jika ini kesimpulannya, tentu sekali STRIDE umpamanya bakal dapat membantu dalam usaha untuk memperbetulkan keadaan. Ini boleh dilakukan dengan menilai semula proses kerja dan mengambilkira kerja-kerja terdahulu yang pernah dibuat ketika menyenggara kenderaan milik TDM terdahulu. Ini termasuklah kerja-kerja sengaraan terhadap kenderaan seperti Condor dan Sibmas. Apakah selama ni apabila diberikan kontrak untuk membaik pulih dan menyenggara sistem kenderaan berunut seperti Scorpion, Stormer dan kenderaan beroda seperti Ferret, Condor dan Sibmas tidak langsung memberi pengalaman dan pengajaran kepada firma-firma tempatan yang terlibat seperti Deftech, MMC Engineering serta PSC-ND (kini Boustead)? Jika jawapannya adalah negatif ini bermakna dana yang diperuntukkan oleh firma-firma tersebut dalam program penyelidikan dan pembangunan adalah amat terhad dan latihan peningkatan kemampuan jurutera serta pekerja mahir juga tidak begitu memberangsangkan.
Keadaan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Ini kerana sejak dari dahulu lagi perdebatan antara industri dan pihak Kementerian Pertahanan mengenai siapakah yang seharusnya dipertanggung jawabkan terhadap kos utama usaha penyelidikan dan pembangunan telah berlarutan tanpa kesudahannya. Pihak Kementerian Pertahanan umpamanya mahukan pihak industri dan firma pertahanan memperuntukkan lebih dana terhadap usaha penyelidikan dan pembangunan sesuatu produk yang dilihat mempunyai potensi. Namun demikian, pihak industri pula berpendapat sekiranya lebih dana perlu diberikan terhadap usaha-usaha sedemikian, pihak Kementerian Pertahanan perlu memberikan komitmen untuk menyokong produk-produk yang dihasilkan oleh mereka dengan melaksanakan perolehan atau pembelian. Ini kerana tanpa perolehan tersebut, firma-firma ini akan merasai sukar untuk mengumpulkan modal pusingan untuk meneruskan kegiatan tersebut. Kadang-kala perbincangan ini diibaratkan sebagai ayam dan telur yang tiada kesudahannya. Selain dari itu, TDM seharusnya mampu memberikan input atau maklumat yang diperlukan bagi industri automotif pertahanan negara untuk menghasilkan kenderaan yang paling berkesan yang boleh digunakan bukan sahaja oleh pihak TDM sendiri namun turut mempunyai ciri-ciri kenderaan berperisai yang mempunyai potensi untuk dieksport. Apa yang jelas umum masih menantikan sebuah kenderaan berperisai yang benar-benar mempunyai kemampuan mantap dan memenuhi kehendak pasukan tentera moden di medan tempur hari ini dan masa hadapan. Jika dilihat kepada negara jiran di selatan yang telahpun menghasilkan pelbagai jenis kenderaan berperisai, umum tentunya tertanya-tanya kenapa industri automotif pertahanan negara masih berada agak ke belakang dalam hal ini.
Elektronik & Komunikasi
Bidang ini adalah merupakan sesuatu yang dianggap paling utama kepada mana-mana negara yang mahu melaksanakan peperangan moden hari ini. Memandangkan kepentingannya dianggap kritikal maka tentunya ia adalah satu bidang yang dikawal ketat tahap kerahsiaannya dan perolehannya juga bakal menelan kos yang amat tinggi. Apa yang unik mengenai bidang ini ialah bagaimana walaupun sesuatu sistem itu telah dijual kepada pengguna, namun tidak ada jaminan bahawa sistem tersebut adalah selamat sepenuhnya. Ini kerana sistem elektronik dan komunikasi mempunyai dua ciri utama dalam penggunaannya, iaitu perkakasan dan perisian. Jika perkakasan adalah merupakan perkara fizikal yang boleh dilihat, sentuh dan pasang, perisian pula adalah sesuatu yang berada di alam maya dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar melainkan apabila dipaparkan pada skrin sistem fizikal tersebut atau didengar melalui fon telinga. Disinilah letaknya pelbagai risiko jika kita hanya bergantung harap kepada firma atau negara asing dalam membina rangkaian komunikasi dan arahan serta kawalan bagi pihak angkatan tentera kita sendiri.
Adalah terlalu daif pemikiran kita sekiranya kita menyatakan sebagai fakta bahawa kesemua sistem yang dibeli dari luar negara sepenuhnya bagi sistem perhubungan strategik dan medan tempur adalah selamat 100%. Ini kerana jaminan sedemikian adalah mustahil untuk diberi, melainkan terdapat komponen-komponen tertentu atau lebih baik sebahagian besar dari komponen, perakasan dan perisian yang diguna pakai adalah merupakan komponen keluaran tempatan, dibina dan disenggara oleh warga negara ini sendiri. Walaupun ia mungkin juga turut terdedah kepada bahaya pintasan dan godaman elektronik, setidak-tidaknya sistem tersebut mampu diubah suai dalam masa singkat kerana kesemua kod keselamatan dan perisian terasnya berada dalam genggaman jurutera-jurutera tempatan yang tahu mengenai sistem tersebut dari A hingga Z. Dengan keadaan sebegini sekiranya sistem telah dicerobohi oleh pihak musuhpun, kod-kod dan sistem teras mampu diubah ciri-ciri dan tahap selamatnya untuk mengadaptasikan ciri pengoperasian kepada ancaman yang sedang dihadapi. Ini berbanding sistem yang dibeli dari luar yang lazimnya turut mempunyai beberapa ciri perlindungan hak cipta oleh pengeluar asal yang melarang sebarang perubahan fizikal oleh pengguna atas dasar perlindungan komersial. Amaran yang diberi ini pula tentunya datang dengan pelbagai ancaman risiko, umpamanya jika sistem data kekal atau cekera keras dibuka bagi apa jua tujuan, keseluruhan sistem akan rosak dan maklumat yang disimpan bakal musnah bersamanya. Ini tentu menyebabkan pengguna seakan terikat kepada pengeluar dalam apa jua usaha pembaikan atau peningkatan kemampuan yang perlu dilakukan kepada sistem kerana bagi tujuan mengubah ciri-ciri kritikal pada sistem jurutera pengeluar sistem dari negara asal terpaksa dipanggil untuk membantu melaksanakan tugasan tersebut.
Apakah TDM benar-benar mempunyai sistem komunikasi yang selamat dan boleh diharap? Jawapannya tentu ada pada TDM sendiri. Seperti juga sistem-sistem lain yang wujud dalam inventorinya andaian boleh dibuat bahawa jika tidak kesemua, sebahagian besar dari kelengkapan sistem adalah yang dibeli dari luar negara dengan Perancis sebagai sumber utama sistem komunikasi. Sejak dari awal lagi seperti mana polisi kementerian Pertahanan, firma tempatan juga turut diberikan peluang untuk mempertingkatkan kemampuan sistem komunikasi ATM dan TDM yang sedia ada. Ini termasuklah firma seperti Sapura, Comintel dan juga SCS.
Dalam usaha untuk menjadikan sistem komunikasi dan arahan serta kawalan lebih selamat, semestinya TDM harus mempunyai satu pelan jangkapanjang yang benar-benar mantap dan praktikal. Memandangkan TDM hari ini meletakkan keupayaan mobiliti anggota infantrinya sebagai faktor utama bagi menghadapi konflik dan perang konvensional serta operasi bercorak mengekalkan kestabilan dan keamanan, maka penggunaan platform kenderaan berperisai, kenderaan tempur dan kereta kebal bakal diketengahkan. Corak peperang bermobilti tinggi memerlukan kemampuan perkongsian dan penyebaran maklumat dalam masa sebenar yang selamat. Ini kerana medan perang hari ini bersifat amat dinamik oleh kerana garis medan hadapan juga menjadi bertambah luas, satu-satunya cara komander operasi untuk mengawal aset dan keadaan ialah dengan kemampuan komunikasi yang selamat serta boleh diharap. Kita harus ingat kata pepatah ketenteraan lama Inggeris yang menyatakan bahawa ‘a commander who cannot communicate, commands nothing’ atau terjemahannya, “seorang pegawai pemerintah yang gagal berkomunikasi, sebenarnya tidak memerintah apa-apapun”. Inilah hakikat medan tempur hari ini apabila pergerakan infantri sebenarnya lebih banyak menggunakan kenderaan bermotor dari berjalan kaki, manakala kumpulan kenderaan mekanise dan kereta kebal pula sentiasa bergerak dan mengubah posisinya, bagi mengambil kedudukan strategik, menggempur musuh mahupun melaksanakan pergerakan atau kepungan taktikal terhadap pasukan musuh, yang mungkin juga mempunyai keupayaan mobiliti tinggi. Selain dari komunikasi antara pasukan dan aset di darat, sistem komunikasi juga mestilah diwujudkan dengan pihak tentera udara. Keadaan ini bakal menjadi lebih runcing sekiranya penguasaan ruang udara mutlak tidak dapat dicapai. Kelibat apa jua pesawat udara di atas medan tempur bermakna dua kemungkinan sama ada pesawat sahabat atau pesawat musuh. Jika perantara komunikasi elektronik tidak mampu berfungsi dengan baik, maka tidak ada jalan lain selain dari mengesahkannya dengan pandangan optik dan mata kasar. Walaupun efektif, cara sebegini pasti sahaja akan menyumbang kepada kelewatan pengesanan dan kemungkinan kemusnahan akibat diserang oleh pesawat musuh terlebih dahulu.
Sebenarnya sistem komunikasi elektronik ini perlu diberikan enekanan oleh pihak TDM. Ini kerana setiap kenderaan baik mekanise berunut atau beroda dan kereta kebal bakal dilengkapkan dengan sistem radio komunikasi. Secara logiknya TDM mestilah berfikiran lebih jauh kehadapan dan benar-benar membertikan tumpuan kepada perlaksanaan untuk mempercepat dan menggunakan sistem buatan tempatan yang terbukti berkesan dalam rangkaian sistem komunikasinya. Bayangkan bahawa bagi setiap kenderaan berperisai dan kereta kebal, semestinya terdapat sebuah set radio komunikasi elektronik, dari tahap yang paling asas dalam sebuah Land Rover sehinggalah kepada set canggih dalam kenderaan Adnan versi arahan dan kawalan, begitu juga pada tahap infantri, dimana setiap kumpulan kecil infantri yang bakal melaksanakan operas, bakal pasti memikul set radio di belakang anggota semboyan. Teknologi sistem komunikasi ketenteraan mempunyai banyak persamaan dengan sistem teknologi elektronik dan perisian dan ini bermakna tahap perubahan dan peningkatan keupayaannya berubah dalam masa yang agak singkat. Ini menjadikan pembekalan sistem radio dan komunikasi elektronik kepada pihak TDM sebagai sesuatu yang perlukan peningkatan dan bakal menelan kos yang bukan sedikit. Umpamanya dalam pelan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) firma Sapura Thales Electronics (STE) telah dianugerahkan kontrak untuk membangun dan menghasilkan sejumlah 3000 sistem radio generasi baru serta aksesorinya bagi jangkamasa empat tahun dengan kerjasama firma Thales dari Perancis. Selain itu firma SAPURA-LTAT juga turut dianugerahkan kontrak untuk membekalkan sistem papan-suis komunikasi digital CD-116 dan sistem telefon medan BLC-201 dari firma EID, Portugal kepada TDM.
Dalam hal ini, seperti yang sepatutnya,firma industri pertahanan tempatan telah diberikan peluang serta bantuan arah-halatuju dan dana yang mencukupi untuk melaksanakan proses penyelidikan dan pembangunan yang mantap. Persoalan yang berikutnya ialah apakah firma tempatan yang diberikan tugas membangunkan sistem radio dari peringkat asas ini benar-benar mampu serta diberikan kebenaran oleh firma induk produk dari luar negara untuk melaksanakan program tersebut sepertimana mengikut pelan dasar Kementerian Pertahanan yang mahukan pergantungan dan khidmat sistem dari luar negara atau firma asing dikurangkan. Adalah terlalu mudah untuk firma tempatan berada dalam apa yang dipanggil ‘zon selesa’ atau ‘comfort zone’ dari segi pendapatan kewangan dan dana apabila ia dianugerahkan pelbagai kontrak dan program oleh pihak ATM. Namun umum juga banyak bertanya, apakah manafaat yang didapati dalam kontrak pembekalan tersebut turut disumbangkan kembali kepada negara, dalam perkara berkaitan sistem komuniaksi, sejauhmanakah firma yang telah diberikan kontrak bernilai ratusan juta Ringgit berjaya mencapai objektif menghapuskan pergantungan kepada firma asing untuk sistem kelengkapan dan peralatan yang bakal diguna pakai oleh TDM. Atau ia setakat melepaskan batuk ditangga sahaja dan perolehan serta pembelian terus menerus dilaksanakan seperti biasa cuba perbezaannya ialah hanya penambahan klausa dalam perjanjian perolehan mengenai bagaimana pemindahan teknologi bakal dilaksanakan. Apa yang mengecewakan ialah pemindahan teknologi yang dilakukan oleh firma-firma tempatan kadang-kala adalah lebih bersifat kosmetik dan dianggap hanya sebagai ‘pemanis’ kontrak agar ianya tidak meghadapi sebarang masalah apabila diajukan kepada Kementerian Pertahanan dan Kewangan. Ini contohnya termasuklah mengilangkan komponen kotak luaran radio dari bahan polimer, atau tombol dail tekan yang hanya bersifat kosmetik dan tidak lebih dari itu, walhal paling penting bagi apa jua sistem radio digital hari ini adalah penghasilan cip dan perisian berteknologi tinggi. Apakah ini kerana firma atau industri pertahanan tempatan lebih mementingkan mengaut sebanyak mana keuntungan yang boleh diperolehi dan jika ini ada kebenarannya ia bukanlah satu perkara baru. Dalam sejarah perolehan sistem TDM, sememangnya ada firma-firma yang gulung tikar sebaik kontrak dengan TDM diperolehi dan berjaya dilaksanakan serta produk diserahkan. Ini memaksa TDM membelanjakan sejumlah besar wang tambahan bagi tujuan senggaraan dan perolehan alat ganti dari sumber komersial akibat ketiadaan lagi sumber asal yang membekalkan peralatan tersebut ke TDM.
Dalam perkara yang melibatkan sistem komunikasi, agak pelik apabila TDM masih memerlukan pergantungan kepada firma luar negara untuk memenuhi kehendaknya menggunakan telefon-medan (field telephone) seperti mana yang telah dilakukannya apabila memperolehi sistem telefon-medan BLC-201. Apakah tidak ada jurutera negara yang arif dalam bidang teknologi telefon medan sehinggakan kita gagal memenuhi kehendak TDM, walhal telefon medan bukanlah satu teknologi baru dan jika ditinjau kepada kemampuan firma-firma telekomunikasi negara, baik bagi khidmat pasaran awam mahupun ketenteraan, mereka tentunya mempunyai kemampuan untuk mencipta sistem telefon yang sedemikian.
Mungkin untuk merungkai perkara ini, sekali lagi persoalan ayam dan telur terus berpanjangan kisahnya. Umpamanya sejak beberapa tahun lalu, dua firma tempatan umpamanya telah menghasilkan sistem radio individu medan tempur serta Sistem Pengurusan Tempur (BMS – Battle Management System) yang boleh diguna pakai dalam perkhidmatan TDM. Namun pihak TDM telah mengambil keputusan untuk tidak menguna pakai sistem keluaran tempatan tersebut atas alasan dan sebab mereka tersendiri. Dalam hal ini sekali lagi produk tempatan mungkin gagal bersaing dengan produk asing. Tetapi TDM sebenarnya mesti mengambilkira apakah ketidak-mampuan produk tempatan tersebut tidak mampu lagi diperbaiki atau dipertingkatkan kemampuannya agar ia boleh dinaikkan pada tahap setidaknya setara atau lebih baik dari dengan produk-produk negara asing, khususnya dari negara Eropah Barat yang seakan sekian lama menjadi Kiblat kepada perolehan TDM.
Lebih mendukacitakan ialah TDM terus melaksanakan perolehan kepada sistem-sistem baru, contohnya sistem radio dan juga BMS dari luar negara bagi dilengkapkan pada sistem baru yang diperolehinya, ini termasuklah contohnya pada sistem komunikasi dan BMS kereta kebal PT-91M atau Pendekar. Apa yang paling kita takuti ialah sekiranya TDM berada dalam kedaan ‘diperangkap’ oleh keadaan semasa dari sudut kemampuan unit semoboyannya akibat penggunaan dan pergantungan yang keterlaluan kepada satu-satu produk atau jenama. Ini boleh berlaku tanpa disedari sekiranya perangka polisi TDM tidak berhati-hati dalam kajian dan perlaksanaan sistem komunikasi mereka.
Umpamanya jika teras sistem komunikasi dan perhubungan elektronik TDM yang digunapakai adalah sistem dari pengeluar luar negara ‘A’, maka dalam perjanjian perolehan, sistem yang ditawarkan hanya mampu menggunakan peralatan, kelengkapan dan perisian hak milik firma tersebut sahaja. Sebarang peningkatan mahupun penambahan kepada sistem tersebut pada masa mendatang mestilah dilakukan dengan menggunakan sistem-sistem yang mempunyai jenama ‘A’. Malah hak milik perisian dan sistem pengoperasian teras juga tidak boleh dikongsi atau dipadankan dengan mana-mana sistem lain dan sebarang penukaran ciri penggunaan tidak boleh dilakukan oleh pengguna, melainkan setelah mendapat kebenaran pihak firma ‘A’. Memandangkan perolehan awal sistem telah terlanjur menggunakan sistem ‘A’, maka mahu tidak mahu keupayaan dan kemampuan sistem komunikasi TDM bakal dijerut oleh sistem yang hanya dihasilkan oleh firma A. Akibatnya sebarang percubaan untuk mengurangkan kebergantungan TDM kepada sistem negara luar akan tinggal sebagai polisi di atas kertas sahaja. Memang perolehan dan pembelian baru pelbagai sistem dibuat, namun jika diteliti, nama firma ‘A’ umpamanya sentiasa akan berada di belakang kesemua perolehan yang dibuat. Apakah perkara ini telah berlaku pada TDM? Tentunya TDM dan Kementerian Pertahanan lebih arif mencorakkan arah halatuju nasib pertahanan negara ini dan pemikir-pemikir dasar pertahanan negara tidak akan semudah itu diperkotak-katikkan oleh firma-firma gergasi pertahanan dunia.
Sampai bila?
‘Dimana ada kemahuan di situ ada jalan’, demikianlah pepatah mengatakan dan demikian jugalah dirasakan bagaimana kita harus menangani isu pokok mengenai percubaan untuk mengurangkan pergantungan TDM kepada sistem, dan kelengkapan dari firma atau negara asing. Sememangnya bukanlah logik atau praktikal untuk menghasilkan kesemua keperluan ketenteraan negara bagi melengkapkan ketiga-tiga cabang ATM. Namun sepertimana sepatutnya, seiring dengan pembangunan teknologi dan keperluan semasa, kita seharusnya mempunyai kemampuan, setidak-tidaknya pada tahap minima untuk melengkapkan unit paling asas infantri dengan persenjataan individu.
Mungkin ada pihak yang akan menyangkal kenyataan ini dengan menyatakan bahawa memiliki kemampuan hanya untuk menghasilkan senjata ringan tidak akan membawa maksud apa-apa dalam konflik global yang hari ini menggunakan sistem pesawat halimunan, senjata peluru berpandu pintar, sistem panduan tembakan GPS serta pesawat tanpa pemandu dan dron. Ini sebenarnya adalah satu andaian yang terlalu cetek dan menampakkan betapa dengkalnya ilmu yang wujud pada sesetengah individu yang mungkin merupakan penganalisa ketenteraan atau penggubal dasar pertahanan sesebuah negara. Dalam konflik global hari ini kita menyaksikan satu trend yang amat ketara bagaimana walaupun sesebuah negara itu kalah dalam perang konvensional pada peringkat awal, saki-baki tentera yang tinggal masih mampu melancarkan siri penentangan secara peperangan tidak simetri yang berkesan dengan hanya menggunakan senjata ringan serta buatan sendiri. Hari ini jika kita bertanyakan kepada tentera Rusia di wilayah Chechnya serta pihak Amerika di Afganistan dan Iraq, apakah senjata yang paling digeruni mereka hari ini, jawapannya hampir pasti adalah RPG-7 dan juga jerangkap samar letupan atau IED. Ini adalah jawapan sama walaupun konflik perang konvensional telahpun berakhir sekian lama dan membawa pengertian yang sinonim dengan ciri-ciri konflik perang tidak simetri. Jika kita meneliti bagaimana pihak Mujahidin dan Taliban mampu menewaskan tentera Soviet dan kemudian meneruskan kesinambungan untuk terus menentang pihak Amerika Syarikat tentunya kita akan mendapati bahawa penentangan tersebut sebenarnya dilakukan secara peperangan tidak simetri dan senjata utama yang digunakan adalah asas kepada kelengkapan infantri, iaitu selaras raifal, pelancar grened anti-armor dan periuk api serta taktik yang berkesan terhadap musuh yang mempunyai kekuatan berkali ganda dari kemampuan mereka sendiri. Jika senjata-senjata tersebut dianggap remeh, kenapa sehingga hari ini panglima-panglima perang Amerika dan NATO masih menggaru kepala di Kabul untuk cuba menangani masalah Taliban?
Bagi Kementerian Pertahanan, TDM dan industri pertahanan tempatan, satu proses muhasabah yang benar-benar tulus mestilah dilakukan untuk melihat kembali apakah objektif yang telah dipersetujui, umpamanya ketika penubuhan MIPN, kekal releven dan jika ianya releven kenapa sehingga hari ini kita masih ditakuk lama. Sejak dari merdeka sehingga kini, kita masih membeli pistol, submesingan, raifal, mesingan, meriam, peluru berpandu, kenderaan berperisai, kereta kebal, helikopter dan pesawat udara dari orang asing, namun slogan ‘Malaysia Boleh’ kita terus laungkan dengan begitu lantang.
TDM sebagai tonggak kepada benteng pertahanan hakiki negara semestinya mempunyai tahap kesiap-siagaan yang tinggi sebilang masa. Ini termasuklah dalam penggantian sistem persenjataan dan berkaitan peperangan. Tidak ada jalan pintas untuk mengelakkan dari berlakunya keputusan bekalan atau sistem tidak dapat digantikan kerana tiada stok, selain dari mencipta atau menghasilkan sendiri komponen dan alat ganti atau lebih baik lagi keseluruhan sistem yang digunakan. Walaupun mungkin mustahil untuk industri negara ini mencapai status kemampuan pengeluaran industri berkaitan pertahanan sepertimana negara maju, namun kita tidak patut hilang fokus kepada perkara-perkara kritikal yang mesti wujud sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Walaupun sebahagian besar dari yang telah dituliskan sebelum ini rasanya banyak mempertikaikan polisi dan tidakan pelbagai pihak yang berkaitan dengan bidang dan tugas kerja Kementerian Pertahanan dan TDM serta industri pertahanan negara, adalah tidak adil untuk terus menerus menuding jari. Kita juga harus akur bahawa industri pertahanan tempatan sebenarnya turut memberi sumbangan besar kepada pertananan negara. Umpamanya sistem kenderaan pengangkut infantri dan utiliti Deftech telah sekian lama memberikan khidmat yang boleh dibanggakan, manakala kemampuan untuk peroses senggaraan dan baik pulih kenderaan-kenderaan berperisai seperti Scorpion, Sibmas dan Condor juga harus diberikan pujian. Tugas-tugas yang dilaksanakan oleh firma tersebut adalah bersifat kosmetik dan pembaikan serta peningkatan lebih tertumpu pada bahagian enjin, namun tidak pula peningkatan keupayaan tempur itu sendiri.
Mungkin TDM sendiri harus benar-benar menetapkan kepada MIPN dan juga industri pertahanan tempatan mengenai bahagian manakah dan konsep apakah yang mahu dijadikan teras kepada pembangunan organisasi tersebut pada RMK 10 dan seterusnya dan bukan disebaliknya. Sebagai pengguna, TDM mempunyai hak untuk menetapkan arus pembangunannya sendiri dan melaksanakan dasar-dasar yang akan membantu ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Pelan teras pembangunan ini seharusnya dijadikan sebagai satu kerangka umum di mana kesemua pihak mampu bekerjasama bagi mecapai satu hasrat dan tujuan. Masa untuk menuding jari dan menyalahkan pihak lain tidak sepatutnya dijadikan budaya, manakala kepentingan keselamatan dan keutuhan kedaulatan negera mestilah diletakkan sebagai objektif utama. Polisi membangunkan TDM mestilah untuk jangka panjang dan salah satu perkara yang mengelirukan umum ialah bagaimana penentuan objektif utama TDM kadang-kala bertukar mengikut kepimpinan yang wujud pada suatu-suatu masa. Ini menyebabkan sesuatu polisi itu tidak dapat diteruskan kerana kepimpinan baru akan mempunyai agenda beliau tersendiri yang mungkin agak berbeza dengan kepimpinan lama. Apabila ini terjadi maka pihak seperti industri pertahanan akan berada dalam keadaan terpinga-pinga kerana apa sahaja penyelidikan dan pembangunan yang diwujudkan berasaskan kepada program kepimpinan terdahulu terpaksa dihentikan dan rentak baru terpaksa disesuaikan pula mengikut kehendak pucuk kepimpinan baru. Ketiadaan kesinambungan ini boleh menyebabkan pelbagai usaha dan program mempertingkatkan kemampuan serta menghasilkan produk menjadi terbantut atau terbengkalai.